Zahid Hamidi desak PRU-15 diadakan segera sebelum musim hujan

0
50
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

CYBERJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya Parlimen segera dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan sebagai reaksi balas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama.

Ahmad Zahid berkata, pengisytiharan itu seolah-olah satu ugutan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dibimbangi berlakunya sabotaj terhadap Perdana Menteri.

“Tidak pasti sama ada tindakannya itu satu lagi bentuk ugutan kepada Perdana Menteri atau sememangnya beliau sudah tidak mampu menyembunyikan muslihatnya.

“Untuk menangani risiko di depan mata maka kerajaan yang stabil perlu segera dibentuk dengan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh.

“Justeru itu ayuh semua kita segerakan PRU-15 sebelum musim hujan, sebelum negara berdepan dengan lebih banyak kerosakan angkara kerakusan politik musuh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Muhyiddin ketika berucap dalam sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya mengisytiharkan BN sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Pengerusi PN itu juga tidak perlu beria-ia mengumumkan BN sebagai musuh utama PN kerana rakyat sudah lama mengetahuinya.

Malah katanya, kerjasama yang dibuat dengan BN sebelum ini hanya sebuah hipokrasi.

Beliau berkata, ini kerana permulaan penubuhan parti itu adalah untuk bergandingan dengan Pakatan Harapan (PH) bagi melenyapkan BN khususnya UMNO.

“Selepas gagal, PPBM mengubah taktikal mahu menguasai BN dalam usaha menyekat kebangkitan pemimpin UMNO yang permah mereka zalimi.

“Juga dengan sasaran BN akan berada di bawah telunjuk PPBM bagi diperkudakan untuk kepentingan politik mereka melalui perancangan ‘scheme of things’.

“Mujur sebahagian besar pimpinan BN termasuk Presiden UMNO dapat menghidu muslihat tersebut walaupun tidak dinafikan ada juga segelintir yang terpedaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here