10,506 pelajar B40 Kedah terima manfaat bantuan pendidikan YPM

0
26
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan kepada pelajar B40 dalam Program Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini, hari ini.

PADANG TERAP – Sejumlah 10,506 pelajar B40 di Kedah menerima manfaat bantuan pendidikan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta sepanjang tahun ini.

“Syabas dan tahniah kepada YPM atas pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan dalam membantu golongan yang memerlukan ini.

“Usaha ini perlu dilaksanakan bagi memastikan anak-anak luar bandar terutamanya dari golongan B40 tidak keciciran dalam pelajaran selain meringankan tanggungan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Program Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi YPM, Datuk Mohd Razman Yaacob; Pengerusi MARA Corporation Sdn Bhd, Senator Datuk Wira Othman Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Mohd Amran Mat Ariffin dan
Ahli Majlis MARA, Datuk Ibrahim Saad.

Jelas Mahdzir, bantuan itu disalurkan melalui pelbagai program pendidikan YPM yang dilaksanakan sepanjang tahun.

Antaranya Skim Bantuan Persekolahan, Dana Ehsan Pendidikan, Program Tuisyen Pintar, Program Kecemerlangan Modal Insan, Skim Anak Angkat dan Pembiayaan Pendidikan Tertiari.

Program CSR YPM turut melibatkan UNIMARA dan Rural Capital Berhad (RCB) sebagai penyumbang disamping kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap.

“Bagi pihak YPM saya mengucapkan terima kasih kepada semua badan-badan korporat yang telah menyumbang dana bagi pelaksanaan program-program pendidikan pelajar di luar bandar.

“Saya menyeru agar lebih banyak badan-badan korporat atau invididu tampil untuk menyalurkan sumbangan kepada YPM bagi merancakkan lagi pelbagai program CSR YPM yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, seramai 693 pelajar dan 75 keluarga B40 di daerah Padang Terap menerima sumbangan berbentuk bantuan persekolahan wang tunai dan komputer riba.

Manakala 3 buah sekolah turut menerima sumbangan tunai berjumlah RM5,000 bagi setiap sekolah.

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan tiga penyerahan replika cek sumbangan bantuan persekolahan YPM bernilai RM95 ribu, bantuan keluarga pelajar asnaf UNIMARA sebanyak RM18,700 dan sumbangan keluarga asnaf RCB berjumlah RM17,500.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here