140 pelajar PMDIC dipilih jalani bengkel amali mutawwif di Mekah, Madinah

0
45
Seramai 140 pelajar daripada Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) akan menjalani latihan amali di Mekah dan Madinah bermula hari ini.

SEPANG – Seramai 140 pelajar daripada Professional Mutawwif Development International College (PMDIC) Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan mendapat peluang menjalani latihan amali di Tanah Suci bagi melengkapkan Program Diploma Kemahiran Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah.

Menurut Pengarah Urusan PMDIC, Abd. Halim Ikhsan, sepanjang bengkel itu berlangsung setiap pelatih akan melakukan sendiri urusan yang melibatkan kerja-kerja dilapangan dengan dipantau oleh pegawai pengiring.

“Sepanjang latihan amali ini mereka akan melakukan sendiri taklimat perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), urusan daftar masuk bagasi di KLIA sehingga urusan daftar masuk ke hotel.

“Selain itu mereka juga akan menguruskan urusan imegresen, urusan ziarah dalaman di Madinah, urusan ziarah luaran Madinah, urusan ziarah luaran Mekah dan segala urusan yang melibatkan ibadah umrah dan lain-lain urusan,” katanya dalam sidang media di KLIA hari ini.

Dalam pada itu, katanya lebih membanggakan apabila jurusan diploma kemahiran itu merupakan satu-satunya jurusan pertama di Malaysia dan pertama di dunia yang memfokuskan kerjaya mutawwif professional.

Pengarah Urusan PMDIC, Abd. Halim Ikhsan

Malah katanya setiap pelatih juga diwajibkan untuk menduduki bengkel di Mekah dan Madinah bagi meningkatkan lagi pengalaman sebenar sebelum bergelar seorang mutawwif yang professional.

“Melalui program ini, pelatih akan mewarnai dan memberi sumbangan terbesar dalam industri umrah khususnya di Malaysia serta di seluruh negara antarabangsa.

“Cabaran yang bakal dihadapi pelatih untuk bengkel yang julung-julung kali ini adalah disebabkan pelatih-pelatih ini tidak mempunyai pengalaman ke Mekah dan Madinah mentelah pula dengan keadaan norma baharu.

“Tetapi dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari selama satu tahun lebih di PMDIC kampus UiTM Samarahan mudah-mudahan dapat membantu pelatih-pelatih melakukan bengkel dengan cemerlang seperti yang diharapkan walaupun tanpa pengalaman,” ujarnya.

Sementar itu katanya, bagi membekalkan setiap pelajar dengan ilmu secukupnya
skop pembelajaran juga diperluaskan dengan menambah subjek pegurusan pelancongan agar kerjaya mutawwif pada masa akan datang tidak terhad hanya boleh membawa jemaah ke Mekah dan Madinah.

Beliau berkata, mereka juga boleh bekerja sebagai Muslim tour leader untuk membawa pelancong melancong keseluruh dunia melalui pakej pelancongan Muslim.

Selain itu katanya pelajar berkenaan turut didedahkan dengan subjek asas keusahawanan, TITAS, asas Bahasa Arab dan subjek asas Bahasa Inggeris.

Pada masa sama katanya, pihaknya juga berkolaborasi dengan universiti awam bagi subjek tambahan yang dipelajari bagi memantapkan pengajian sepanjang di PMDIC.

“Lanjutan daripada pembelajaran teori, pengajian ini diteruskan lagi dengan bengkel di Tanah Suci sebelum menghadapi latihan di Industri pelancongan umrah dan ziarah selama empat bulan.

“Justeru, melalui konsep asas dan teori yang dipraktikan oleh pelatih, nescaya pengalaman ini mampu meningkatkan lagi mutu kebolehpasaran graduan melalui peluang kerjaya dalam bidang mutawwif yang professional dan lebih terancang,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan pada tahun hadapan, katanya, seramai 500 pelatih dari PMDIC kampus UiTM Mukah, kampus UiTM Melaka, kampus SiDMA Kuching, kampus SiDMA Sabah, kampus UTHM, kampus UPSI dan kampus UCYP akan terbang melaksanakan bengkel di Mekah dan Madinah melalui agensi pelancongan di seluruh Malaysia.

“Pada tahun hadapan, PMDIC juga akan melebarkan sayapnya ke beberapa negara ASEAN antaranya Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here