2,500 kakitangan TNB siap siaga hadapi banjir

0
1
TNB

CYBERJAYA – Sebanyak 2,500 kakitangan Bahagian Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menganggotai Pasukan Kecemasan Keselamatan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir tahun ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, kakitangan terbabit akan bertugas 24 jam bagi memastikan pengurusan bekalan tenaga elektrik teratur dan meminimumkan kerosakan pepasangan elektrik demi keselamatan orang ramai.

Beliau berkata, bantuan logistik di negeri sering dilanda banjir sudah disiapkan termasuk 296 set janakuasa bergerak; 227 set janakuasa kecil mudah alih 5kW/2.5kW; 279 buah lori; 885 kenderaan pacuan empat roda; 38 buah bot dan 108 lampu limpah.

Selain itu, Wan Nazmy berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) juga akan diperiksa bagi memastikan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik.

“TNB bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah serta akan membuka bilik gerakan di negeri-negeri yang dilanda banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika banjir dinasihatkan agar segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here