8 warga Afrika ditahan kes pergaduhan maut di pusat hiburan

0
30
PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan lapan warga Afrika termasuk dua wanita berhubung kes pergaduhan yang mengorbankan seorang lelaki Afrika di kawasan pusat hiburan di Jalan Tun Razak, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, penahanan dibuat bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang turut mencederakan dua lagi mangsa.

“Punca kematian salah seorang daripada mereka adalah pergaduhan dengan lelaki yang juga berketurunan Afrika selepas berselisih faham di dalam pusat hiburan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah iaitu kesan luka akibat tetakan di belakang leher,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ashari, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju telah menahan enam Lelaki dan dua wanita warga Afrika itu di sekitar Kuala Lumpur untuk membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau di mana-mana balai polis berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here