Acek Mail ‘On X On’ maut kemalangan di PD

0
108

PORT DICKSON – Seorang lelaki yang terkenal dengan ‘tagline’ atau slogan popular ‘On Tak On’ (On X On), maut selepas motosikal ditunggangnya kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Telok Kemang, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Faizi Azmi , 47, terlibat dalam nahas pada jam 4.57 petang dengan membabitkan sebuah Perodua Bezza, sebuah Perodua Aruz dan motosikal Honda C100 milik mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati sebuah kereta Perodua Aruz dipandu anggota tentera dari arah Sua Betong dalam perjalanan ke rumahnya di Kem Gerison, SiRusa, keluar dari simpang tiga Sua Betong ke arah Teluk Kemang lalu terlanggar sebelah kanan motosikal mangsa.

“Akibatnya, mangsa melambung dan terjatuh lalu terkena bahagian depan sebuah Perodua Bezza yang juga dipandu seorang anggota tentera sebelum dia terjatuh atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan dari Port Dickson ke Teluk Kemang.

Beliau berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan kecemasan, sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.38 malam tadi.

“Beliau sangat dikenali dengan nama Acek Mail juga sering memuat naik video pendek di media sosial dengan tagline ‘On X On’,” katanya.

Sementara itu menurut Aidi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here