Agong kecewa situasi politik semasa, punca benarkan PRU diadakan

0
33

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa

Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, justeru baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November ini.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah. khususnya bencana banjir,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Perdana Menteri menghadap Agong semalam pada pukul 12 tengah hari di Istana Negara.

Katanya, dalam sesi menghadap yang tidak berjadual itu, Perdana Menteri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa hari ini.

“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here