Agong, Permaisuri berangkat ke London esok

0
15

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan berangkat ke London, United Kingdom (UK) bagi mengadakan lawatan Khas, bermula esok hingga 16 Oktober ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam rangka lawatan khas itu, baginda berdua dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain, Raja Charles III di Istana Buckingham, London, pada Rabu.

“Keberangkatan baginda berdua melakukan kunjungan hormat ini mencerminkan keakraban Yang di-Pertuan Agong dengan Raja Charles III.

“Baginda menjalin persahabatan dengan Raja Charles III sejak lebih empat dekad dan pernah bersama-sama melakukan aktiviti bersukan polo berkuda ketika zaman remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

“Kunjungan hormat ini juga mencerminkan hubungan dua hala yang rapat di antara Malaysia dan UK sejak kemerdekaan Malaysia, 65 tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, pada hari sama, baginda berdua turut dijadualkan menyempurnakan majlis perasmian Stesen Janakuasa Battersea, projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London.

“Stesen Janakuasa Battersea yang berkeluasan 16.99 hektar adalah projek hartanah membabitkan usaha sama antara Sime Darby Property, SP Setia Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak sembilan bilion pound (RM51.53 bilion).

“Baginda berdua dijadualkan mengakhiri lawatan khas itu dan berangkat pulang ke tanah air pada 16 Oktober,” katanya.

Dari segi hubungan dua hala, UK adalah rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia pada 2021 dengan jumlah dagangan kedua-dua negara sebanyak RM17.17 bilion, iaitu peningkatan 2.9 peratus berbanding 2020.

Nilai eksport Malaysia ke UK pada tahun lalu juga direkodkan sebanyak RM9.78 bilion, manakala nilai import dari UK, RM7.39 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here