Agong titah supaya beri perhatian kepada sistem amaran awal banjir

0
16
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke PRABN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Ampang, dekat sini bagi meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan bagi negara berdepan musim banjir di seluruh negara. Kredit gambar Bernama

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati dengan persiapan dilakukan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi berdepan kemungkinan banjir ekoran Monsun Timur Laut 2022/2023.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu ditekankan Yang di-Pertuan Agong selepas baginda meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bagi negara berdepan musim banjir di seluruh negara.

Katanya, baginda juga menitahkan supaya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberi perhatian kepada sistem amaran awal banjir serta pelarasan agihan bantuan bencana itu kepada mangsa.

“Beberapa perkara untuk diberi perhatian soal antara bila berlaku bencana amaran lebih awal dan kita juga maklumkan kepada baginda bahawa kali ini kita menambahkan jumlah fasiliti siren dan kemudahan yang ada di kawasan ‘hotspot’.

“Selain itu baginda juga minta penyelarasan dari segi bantuan di bawah agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua pihak.

“Ia supaya apabila berlaku banjir kita dapat mengurangkan impak dan bantuan dapat diserahkan dengan sama rata kepada seluruh mangsa,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.

Terdahulu, Tuan Ibrahim mengiringi Yang di-Pertuan Agong yang berkenan berangkat ke PRABN, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Ampang, dekat sini bagi meninjau sendiri persiapan dan kesiapsiagaan bagi negara berdepan musim banjir di seluruh negara.

Pada masa sama, Tuan Ibrahim berkata, KASA mengambil perhatian serius mengenai perkara dibangkitkan Yang di-Pertuan Agong untuk diambil tindakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here