Aliff Syukri mengaku tidak bersalah, diikat jamin RM20,000 untuk 4 pertuduhan 

0
90
Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri (tengah) kelihatan kelihatan tenang selepas tamat perbicaraan di Mahkamah Sesyen (1) Sepang di sini, hari ini. Kredit foto- Mim Fadlizal.

SEPANG – Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas empat pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video bersifat sumbang tahun ini.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Rizki Abdul Jalil di Mahkamah Sesyen (1) Sepang di sini, hari ini.

Tertuduh didakwa di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil yang mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi empat pertuduhan.

Sungguhpun begitu, Aliff Syukri yang diwakili Peguam Hasshahari Johari memohon mahkamah meringankan jumlah tersebut kepada RM6,000 untuk semua pertuduhan.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan RM20,000 untuk ikat jamin tertuduh dengan seorang penjamin bagi kempat-empat pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sedar didakwa melakukan kesalahan memuat naik klip video raya bersifat sumbang pada 13, 15, 17 dan 21 April tahun ini dan telah dilihat di Ibu Pejabat SKMM pada 24 April jam 2.01 petang.

Dalam pada itu, Aliff Syukri yang memakai kemeja bewarna putih kelihatan tenang dalam kandang tertuduh selepas tamat perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Aliff Syukri telah menimbulkan kontroversi dengan memuat naik klip video raya bertajuk ‘Kelepok Raya’ yang dilihat bertentangan dengan norma masyarakat Malaysia.

Klip video raya berkenaan memaparkan sekumpulan penari lelaki bersolek dan berperwatakan lembut, mencetuskan pelbagai reaksi kerana dikatakan kurang sesuai untuk tontonan masyarakat lebih-lebih ketika di bulan Ramadan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here