Angkara pemandu mabuk, wanita terbunuh, adik cedera parah

0
26
Keadaan kenderaan suspek berusia 33 tahun yang melanggar dua beradik dalam kemalangan di Jalan Banting-Kajang, malam tadi. – GAMBAR IHSAN PDRM

KAJANG – Seorang wanita berusia 27 tahun maut, manakala adiknya yang berusia 25 tahun parah setelah dilanggar seorang pemandu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dalam satu kejadian di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko), dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, pemandu kereta dalam perjalanan dari Kajang Sentral ke rumahnya di Taman Sri Langat, Kajang.

“Kejadian berlaku berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat dan ketika kejadian, dua mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

“Kereta terbabit kemudian terbabas melanggar tiga kenderan lain terdiri daripada dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang diletakkan di hadapan sebuah restoran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Pemandu kereta kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk menjalani ujian saringan awal kandungan alkohol.

“Hasil ujian mendapati pemandu berkenaan positif dibawah pengaruh alkohol dan direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar bagaimana kemalangan boleh berlaku termasuk kemungkinan ada unsur lain.

Justeru, katanya mana-mana saksi yang ada maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Feisal Mokhtar di talian 012-9454655 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran dalam daerah Kajang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here