ATM sahkan 20 anggotanya disiasat polis

0
17

CYBERJAYA – Pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan 20 anggotanya disiasat polis berhubung dua kes rompakan di Semporna, Sabah pada 15 dan 18 Ogos lepas.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM akan memberikan kerjasama dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis.

Beliau menegaskan ATM tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dalam isu melibatkan sebarang jenayah atau pelanggaran disiplin terutamanya dalam kalangan warga ATM.

“Ketegasan ini adalah penting kerana ia boleh mencemarkan imej ATM sebagai sebuah organisasi yang mendukung konsep integriti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Semua pihak juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat memberitahu, seramai 20 anggota tentera ditahan kerana disyaki terlibat dalam dua kes rompakan di laut di perairan Pulau Siamil dekat Semporna.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan berkumpulan dan kesemua suspek telah dijamin pada 25 Sept lepas dan kes masih dalam siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here