Azie selamat kembali di pangkuan keluarga

0
612
Kediaman mertua Rosnazira Mohd Naim di Kampung Kelochor, Kelantan.

KOTA BHARU – Ejen jualan kosmetik, Rosnazira Mohd Naim akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya selepas lebih tiga minggu diculik dan dilarikan ke Thailand pada 13 September lalu.

Rosnazira yang dikenali sebagai Azie dilaporkan tiba di Kuala Lumpur tiga hari lalu selepas berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Thailand, hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia.

Azie tiba ke kediaman mentuanya di Kampung Kelochor, di sini, jam 2.50 petang tadi dengan pemantauan pihak berkuasa diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan anggota.

Mangsa yang dilarikan tiga lelaki bersenjata itu jelas tidak dapat mengawal emosi dan kesedihan lalu memeluk dan menangis di pangkuan ibu bapanya.

Dia juga dilihat kerap termenung dan menangis, sebelum ditenangkan ahli keluarga.

Muhammad Zaki berkata, mangsa yang diselamatkan ketika cuba diseludup ke Laos itu mengalami ketakutan yang serius akibat kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya telah memberikan kaunseling untuk membantu mengurangkan trauma yang dialaminya.

“Kes penculikan ini mendapat liputan meluas dan kita dengan bantuan semua pihak berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik.

“Soal keselamatan mangsa selepas ini, keluarga perlu adakan perbincangan mengenai apa langkah seterusnya kerana tidak semestinya bergantung kepada pihak polis semata-mata,” katanya.

Kes itu katanya dianggap sudah selesai namun pihaknya masih mempunyai banyak perkara berkait dengan siasatan.

“Selagi ada perkara yang menyalahi undang-undang, polis akan siasat,” katanya kepada pemberita.

Setakat ini katanya, seramai tujuh individu telah ditahan untuk membantu kes berkenaan dengan tiga daripadanya sudah dibebaskan.

“Mereka ditahan untuk dijalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961,” katanya.

Azie yang dilarikan di kediamannya sebelum ini dilihat dibawa menyeberangi Sungai Golok dan maklumat yang diperolehi mempercayai mangsa akan dibawa ke sempadan Thailand-Myanmar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here