Bajet 2023 dibentang semula sekiranya Parlimen bubar – Tengku Zafrul

0
36
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Bajet 2023 tidak akan me jadi sia-sia sekiranya berlaku pembubaran Dewan Rakyat dalam masa terdekat ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebaliknya bajet itu akan dibentangkan semula dan diluluskan apabila selesai pilihan raya.

Beliau berkata, ia berdasarkan kepada Bajet 2000 yang dibentangkan pada 1999.

“Soalan tarikh bubar perlu tanya Perdana Menteri, tapi perkara ini pernah berlaku pada 1999.

“Jika kita rujuk kembali apa yang berlaku pada 1999, bajet dibentangkan, kemudian ada pembubaran dan bajet dibentangkan semula.

“Jadi itu yang akan berlaku sekiranya ada pembubaran, tetapi soal bubar perlu ditanya kepada Perdana Menteri,” katanya memetik laporan Utusan Online dalam sidang media selepas membentangkan Bajet 2023 di Parlimen hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 memberi fokus kepada arah tuju masa depan negara dan tinjauan ekonomi dalam Laporan Ekonomi 2022/2023 juga menyatakan kedudukan ekonomi negara pada masa ini.

“Kita sudah umum Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita. Angka baharu iaitu di antara 6.5 dan tujuh peratus, dan kita juga ada sasaran defisit. Sebelum ini enam peratus dan kini dijangka 5.8 peratus. Pada tahun depan, sasaran kita 5.5 peratus.

“Jika kita lihat tinjauan ekonomi, ia juga mempunyai anggaran perbelanjaan dan mengenai rancangan untuk masa depan. Jadi, apa yang dikatakan (mengenai kesan kepada Bajet 2023) tidak berasas,” katanya.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang pembubaran Parlimen akan dibuat sebelum Bajet 2023 dibentang di Dewan Rakyat bagaimanapun pembentangan Bajet 2023 hari ini menamatkan spekulasi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here