Bajet 2023: Geran one-off RM1,000 kepada 1 juta PMKS

0
29
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan geran one-off sebanyak RM1,000 kepada semua syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pemandu teksi berdaftar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM1 bilion dan dijangka dapat dimanfaatkan sejuta penerima.

“Bajet 2023 turut responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya membabitkan PMKS. Kerajaan akan giat membantu syarikat PMKS melalui pemberian insentif dan kemudahan pembiayaan yang pelbagai.

“Berdasarkan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), PMKS dijangka menyumbang 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport negara menjelang 2025.

“Sebagai komitmen kerajaan untuk menyokong dan memperkasa PMKS, sukacita diumumkan, mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi RM100,000 pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.

“Pengurangan ini dijangka memberi penjimatan sehingga RM2,000 kepada 150,000 pembayar cukai PMKS,” katanya.

Selain pembiayaan mikro, katanya, kerajaan juga menyediakan pinjaman yang menyokong syarikat kecil dan sederhana.

Menerusi Bank Negara Malaysia (BNM), sejumlah RM10 bilion dana pinjaman disediakan antaranya untuk menggalakkan aktiviti automasi dan pendigitalan PKS serta menyokong agenda sekuriti makanan dan pemulihan sektor pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here