Bajet 2023 : KPLB terima peningkatan bajet 4 peratus

0
8
Mahdzir Khalid

CYBERJAYA – Sebanyak RM10.93 bilion diperuntukkan kerajaan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui Bajet 2023 yang dibentangan semalam.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu melibatkan peningkatan sebanyak 4 peratus iaitu kira-kira RM424.9 juta berbanding bajet yang diterima pada 2022.

Beliau menyifatkan peningkatan bajet itu adalah langkah yang tepat ke arah pembangunan yang digariskan kementerian itu sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat di luar bandar.

“KPLB merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di atas peruntukan RM10.93 billion kepada KPLB dan ia merupakan bajet yang inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal termasuk B40 dan warga luar bandar.

“KPLB menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi Bajet 2023 untuk memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan yang akan memberi manfaat kepada 8.09 juta penduduk luar bandar”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mahdzir, Bajet 2023 KPLB meliputi RM3.62 bilion peruntukan mengurus dan RM7.31 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Menerusi peruntukan itu katanya, lebih banyak projek pembangunan akan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi dan modal insan.

“Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya.

Tambah Mahdzir, KPLB turut menerima peruntukan sejumlah RM2.49 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Jambatan Luar Bandar dan Program Ameniti Sosial.

Jumlah itu adalah RM64.2 juta atau 2.6 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2022.

Selain itu, RM102.86 juta diperuntukkan untuk kos operasi dan penyelenggaraan lampu jalan kampung.

Untuk merancakkan ekonomi di luar bandar pula, KPLB menerima peruntukan sebanyak RM114.4 juta untuk aktiviti ekonomi luar bandar.

Jumlah itu kata Mahdzir, meningkat sebanyak RM84 juta atau 26.6 peratus berbanding tahun 2022.

Bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar, RM460 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PPRKM), yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jumlah itu jelas Mahdzir, peningkatan sebanyak RM99 juta atau 21.5 peratus berbanding tahun 2022

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here