Bajet 2023 : KPM kemuka 11 inisiatif berjumlah RM6.8 bilion

0
21
Dr. Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengemukakan 11 inisiatif baharu berjumlah RM6.8 bilion kepada Kementerian Kewangan untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2023.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, inisiatif tersebut merangkumi tiga kluster utama yang berkaitan dengan kepentingan murid, guru dan infrastruktur.

“Itu adalah tiga teras utama yang kita lihat dalam konteks bajet kita kali ini. Kita punya ‘wishlist’ adalah berdasarkan teras utama ini.

“Tetapi ini tidak bermakna yang lain-lain tidak ada (dipohon),” katanya pada lawatan ke Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) bersama Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof hari ini.

Dr. Radzi Jidin bermesra dengan murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 hari ini.

Dr. Radzi berkata, melalui inisiatif itu, KPM berharap keseluruhan ekosistem pendidikan negara dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.

Katanya, antara yang perlu diberikan penekanan adalah keperluan peranti digital untuk para guru dalam menjayakan transformasi pendidikan khususnya melalui pendigitalan.

Justeru, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.8 bilion akan digunakan untuk tujuan penyediaan peranti digital atau komputer peribadi kepada guru-guru di sekolah kerajaan.

“Jika kita lihat biasanya kakitangan awam disediakan dengan laptop atau workstation masing-masing, namun tidak kepada guru-guru.

“Jadi peranti ini menjadi komponen yang penting untuk memastikan para guru dapat menggunakan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran.

“Ini tidak termasuk dengan latihan-latihan untuk para guru bagi memastikan perkara yang dilaksanakan itu dibuat dengan cekap dan teratur,” katanya.

Radzi berkata, usaha lain KPM dalam inisiatif tersebut adalah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang mana nilainya (RM2.50) akan ditambah bersesuaian dengan keadaan semasa.

“(Kadar baharu) RMT kita serahkan kepada Kementerian Kewangan, sekarang ini RM2.50 dan kali terakhir ‘revised’ adalah beberapa tahun yang dulu sebab itu kita mohon perkara ini diteliti semula,” katanya.

Katanya, KPM juga memberi perhatian kepada keperluan infrastruktur murid berkeperluan khas untuk memastikan golongan itu dapat bersama-sama dalam arus pendidikan perdana.

“Untuk tempoh 2 setengah tahun hingga 3 tahun yang lepas pun, kita telah banyak melakukan pembaharuan untuk Pendidikan Khas dan mahu ia terus diberikan perhatian.

“Begitu juga dengan Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik atau STEM yang diberi penekanan kerana kita dapati berlaku penurunan dari segi kemasukan pelajar.

“Jadi kita akan usahakan satu intervensi yang menyeluruh melalui peruntukan yang spesifik untuk meningkatkan kemasukan murid dalam STEM,” katanya.

Dalam penyediaan infrastruktur pula, Radzi berkata pihaknya turut memberi penekanan kepada pembangunan sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

“Tumpuan kita adalah untuk menyelesaikan sekolah-sekolah yang telah dikategorikan pada skala 7 iaitu yang telah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak selamat untuk diduduki,” katanya.

Dr. Radzi berkata, selain 11 inisiatif yang disebut, KPM tidak melupakan ‘perkara-perkara asas’ berkait keperluan kementerian itu yang disentuh dan dibentangkan setiap tahun.

“Misalnya adalah Bantuan Awal Persekolahan yang dahulu berjumlah RM100 seorang murid dan telah diluluskan kepada RM150,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here