Bajet 2023: Langkah tepat ke arah luar bandar sejahtera – Mahdzir

0
7
Datuk Seri Mahdzir Khalid berjabat tangan dengan Datuk Seri Tengku Zafrul selepas pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 sebagai langkah tepat ke arah pencapaian luar bandar sejahtera yang digariskan kementerian itu.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Bajet 2023 untuk kementerian itu yang meningkat sebanyak empat peratus atau hampir RM424.9 juta berbanding 2022 menunjukkan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat di luar bandar.

“KPLB merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di atas peruntukan RM10.93 bilion kepada KPLB dan ia merupakan bajet yang inklusif dan menyeluruh dalam memastikan tiada golongan yang tertinggal termasuk B40 dan warga luar bandar.

“KPLB menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi Bajet 2023 untuk memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan yang akan memberi manfaat kepada 8.09 juta penduduk luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Jelas Mahdzir, Bajet 2023 KPLB meliputi RM3.62 bilion peruntukan mengurus dan RM7.31 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Menerusi peruntukan itu katanya, lebih banyak projek pembangunan akan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga dari segi ekonomi dan modal insan.

“Ini seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti mana yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” ujarnya.

Tambah Mahdzir, KPLB turut menerima peruntukan sejumlah RM2.49 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar, Jalan Perhubungan Desa, Jambatan Luar Bandar dan Program Ameniti Sosial.

Katanya, jumlah itu adalah RM64.2 juta atau 2.6 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2022.

Selain itu, katanya, sebanyak RM102.86 juta diperuntukkan untuk kos operasi dan penyelenggaraan lampu jalan kampung.

Selain itu, untuk merancakkan ekonomi di luar bandar pula, KPLB menerima peruntukan sebanyak RM114.4 juta untuk aktiviti keusahawanan luar bandar.

Jumlah itu kata Mahdzir, meningkat sebanyak RM84 juta atau 26.6 peratus berbanding tahun 2022.

Pada masa sama, katanya, bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar, RM460 juta diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PPRKM), yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jumlah itu jelas Mahdzir merupakan peningkatan sebanyak RM99 juta atau 21.5 peratus berbanding tahun 2022.

“Sejumlah RM25 juta juga diperuntukan untuk program-program lain di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat seperti Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Komuniti Sejahtera.

“KPLB juga amat mengalu-alukan peruntukan bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan yang turut memberi manfaat kepada golongan belia dan wanita di luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selaras dengan konsep kebersamaan Keluarga Malaysia, pembangunan Orang Asli tidak dipinggirkan di mana RM305 juta telah diperuntukkan untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli.

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 13.5 peratus atau RM41.2 juta berbanding peruntukan tahun 2022 yang meliputi program pembangunan infrastruktur, ekonomi dan modal insan untuk memperkasa komuniti Orang Asli di Malaysia.

“Ia termasuk Projek Tanam Semula ladang getah dan kelapa sawit yang akan memberi manfat 2,100 Orang Asli di Terengganu, Kelantan dan Pahang serta Program Pembangunan Usahawan Orang Asli yang akan memberi manfaat kepada 550 usahawan Orang Asli.

“KPLB juga mengalu-alukan peruntukan berjumlah RM187.89 juta untuk Elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Elaun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

“Peruntukan itu meningkat sebanyak 6.4 peratus atau RM11.95 juta yang akan dapat membantu memperkukuh 15,434 JPKK dan JPKKP bagi kesejahteraan kampung di seluruh negara,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, KPLB juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM612.59 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil getah di bawah agensi berkenaan.

Mahdzir berkata, ia merupakan kenaikan RM104.6 juta atau 20.6 peratus yang turut meliputi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM256 juta dengan kadar RM800 yang akan memberi manfaat kepada 320,000 pekebun kecil.

Jelasnya, kadar BMT sebanyak RM800 itu merupakan kenaikan sebanyak RM200, berbanding RM600 sebelum ini.

Selain itu kata Mahdzir, RM315 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil bagi menggantikan pokok getah tua yang tidak lagi produktif yang akan memberi manfaat kepada 387,000 pekebun kecil manakala RM40 juta lagi untuk Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu seperti tanaman makanan jangka pendek.

“Manakala FELCRA pula menerima peruntukan sebanyak RM369.75 juta yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil di bawah agensi berkenaan,” katanya.

Bagi menyokong usaha untuk menaiktaraf pendidikan awal kanak-kanak ke arah pendigitalan terutamanya di luar bandar, sebanyak RM194.83 juta diperuntukkan untuk TABIKA dan TASKA KEMAS.

Ia termasuk untuk Bantuan Makanan Tambahan, Bantuan Geran Perkapita serta peralatan dan kelengkapan TABIKA dan TASKA KEMAS.

Selain itu, 10 buah TASKA KEMAS baharu akan dibina di Port Dickson, Negeri Sembilan, Limbang, Sarawak dan Pasir Putih, Kelantan untuk memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak daripada umur 2 hingga 4 tahun.

“KPLB akan memastikan peruntukan yang disediakan ini sampai kepada masyarakat luar bandar bagi merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar ke arah luar bandar yang lebih sejahtera.

Bajet 2023 juga akan dimanfaatkan agar nikmat pembangunan dapat dikongsi bersama Keluarga Malaysia dalam menggerakkan usaha pemulihan negara ke arah luar bandar sejahtera dan makmur,” kata Mahdzir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here