Bajet 2023 manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara – tegas PM

0
14
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengamimkan doa yang dibaca ketika pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gembira dengan pembentangan Bajet 2023 yang berjalan lancar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata, bajet kali ini yang berjumlah RM372.3 bilion menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding bajet tahun lalu.

“Alhamdullilah, saya gembira dengan pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

“Bajet 2023 berjumlah RM372.3 bilion ini menyaksikan peningkatan yang ketara berbanding bajet tahun lalu. Bajet 2023 juga memperlihatkan komitmen kerajaan menawarkan manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 yang menyediakan pelbagai inisiatif dan manfaat kepada seluruh rakyat.

Bajet 2023 juga menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM95 bilion, meningkat dengan ketara berbanding peruntukan 2022 sebanyak RM75.6 bilion dan RM64 bilion pada 2021.

Peruntukan yang besar ini adalah bagi menyokong pembangunan negara dengan lebih terangkum dan mengurangkan jurang di antara wilayah walaupun berhadapan dengan kekangan fiskal.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, bajet tersebut juga menjadi manifestasi usaha kerajaan untuk kebangkitan negara, agar menjadi sebuah negara yang unggul setelah kita mengharungi pelbagai krisis dan cabaran sebelum ini.

“Semoga usaha yang berterusan akan menjadikan negara kita lebih sejahtera, aman, makmur dan Keluarga Malaysia mendapat penghidupan yang lebih berkualiti untuk hari-hari yang mendatang,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here