Bandar Lipis bakal terima pelaburan berjumlah RM1 bilion menerusi pembinaan Bandar Pertahanan

0
19
Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (dua dari kanan) menyaksikan Perjanjian Pajakan Tanah Projek Kilang Peluru antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Ketech Asia Sdn Bhd (Fasa 1) di sini hari ini.

LIPIS – Bandar Lipis bakal menerima pelaburan daripada syarikat tempatan berjumlah RM1 bilion menerusi pembinaan Bandar Pertahanan Lipis.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi pelaburan syarikat tempatan tersebut bakal menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk penduduk di Lipis dan kawasan sekitar.

“Kerajaan Pahang menerusi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy telah bersetuju untuk pelaksanaan pembangunan Bandar Pertahanan ini menerusi Perjanjian Pajakan Tanah Projek Kilang Peluru antara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang dan Ketech Asia Sdn Bhd (Fasa 1) di Kechau Tui yang melibatkan keseluruhan kawasan seluas 40.5 hektar,” katanya hari ini.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, Projek Kilang Peluru itu merupakan komitmen beliau untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu serta menjadikan sektor pertahanan sebagai salah satu sumber baharu pendapatan negara tanpa kebergantungan kepada negara luar. 

Beliau berkata, projek mega itu akan memberi manfaat kepada aspek sosial dan ekonomi di Parlimen Lipis.

Selain itu katanya, ini juga akan mewujudkan peluang pekerjaan yang besar kepada penduduk tempatan selain membangunkan prasarana lain di daerah tersebut.

“Kilang ini memerlukan tenaga kerja lebih 1,000 orang (apabila siap sepenuhnya), sekaligus akan meningkatkan tenaga mahir dan kepakaran dalam kalangan anak tempatan Lipis.

“Selain itu kawasan sekitar juga dapat dibangunkan dengan wujudnya premis-premis perniagaan dan projek perumahan baru serta memberi hasil kepada pendapatan negeri.

“Insya-Allah, Projek Fasa 2 pula akan bermula selepas saya mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembangunan kilang peluru di kawasan Lipis.

“Ini adalah salah satu usaha dan tekad bagi merancakkan pembangunan dalam Parlimen Lipis dan usaha ini akan saya teruskan dengan membawa lebih banyak pelaburan dalam pelbagai industri, tambah beliau lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here