Bekas kakitangan Utusan mahu campur tangan PM dalam tuntutan pampasan tertunggak

0
310

KUALA LUMPUR – Seramai 300 orang bekas kakitangan Utusan Melayu (Utusan) hadir dalam majlis perjumpaan semula sempena memperingati ‘kematian’ syarikat akhbar Melayu tertua itu di hadapan bekas bangunan ibu pejabatnya di sini hari ini.

Perjumpaan yang diadakan sempena memperingati ulang tahun ketiga penutupan Utusan itu mencatat sejarahnya tersendiri kerana dihadiri oleh wakil semua bekas pekerja tanpa mengira status dan kali pertama pernah diadakan.

Perjumpaan tersebut melambangkan soladiriti tertinggi bekas kakitangan Utusan kerana disertai bekas pekerja tanpa mengira pangkat dan status berhenti, sama ada diberhentikan selepas syarikat ditutup, peserta skim pemberhentian sukarela (VSS), kakitangan bersara wajib atau berhenti.

Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan tersebut, Encik Saifol Bakhtiar Hamik berkata, tujuan utama perhimpunan itu adalah untuk mengumpulkan semula semua bekas pekerja Utusan dan menjalin silatulrahim sesama mereka.

“Walaupun syarikat Utusan Melayu telah tiada, namun sejarah, semangat dan jasa institusi itu tetap mengalir dalam diri setiap bekas pekerjanya,” kata Saifol Bakhtiar yang juga merupakan Yang DiPertua Badan Keluarga Utusan Melayu pada majlis tersebut yang diadakan di Jalan Utusan, Chan Sow Lin, di sini.

Sebahagian daripada 300 kakitangan Utusan Melayu yang hadir pada perhimpunan memperingati ‘terkuburnya’ syarikat akhbar tertua itu hari ini.

Selain itu, katanya, perhimpunan juga ingin memberi mesej kepada orang ramai dan pemimpin negara, terutama UMNO yang merupakan bekas pemilik syarikat itu bahawa nasib dan kebajikan 1,500 bekas kakitangan Utusan yang diberhentikan dan yang mengambil VSS masih terabai selepas syarikat ditutup pada 9 Oktober 2019.

“Sehingga kini, seramai 13 orang telah meninggal dunia tanpa mendapat bayaran satu sen pun pampasan atau tunggakan baki VSS dengan 23 orang lagi bekas kakitangan dalam keadaan daif kerana mengidap pelbagai penyakit selepas syarikat ditutup,” katanya.

Sehubungan itu, perhimpunan juga bertujuan mendesak pihak pelikuidator UHY Malaysia (yang mengambil alih urusan pelikuidari aset Utusan) agar segera membuat bayaran wajib/statutori (mengikut Akta Syarikat dan Akta Pekerja), pampasan dan juga tunggakan
VSS yang telah bergantung sejak tiga tahun lepas.

“Seperti yang kita dapat lihat, papan tanda logo Utusan Melayu telah diturunkan dari bangunan bekas ibu pejabat syarikat akhbar itu dan kilangnya di Bangi baru-baru ini, ini menunjukkan sudah tentu bangunan-bangunan bernilayang dianggar bernilai lebih
RM150 juta itu telah terjual,” katanya.

Selain itu, tinjauan terhadap aset dan bangunan-bangunan milik Utusan Melayu yang bernilai ratusan ringgit di seluruh negara juga telah berpindah milik kerana bangunan atau pejabat-pejabat itu telah diruntuhkan dan sedang dibina semula oleh pemilik baru .

Bakhtiar berkata, sehubungan itu alasan UHY yang menyatakan banyak aset-aset Utusan masih tidak boleh dijual kerana COVID-19 dan syarikat tiada wang untuk membayar bekas kakitangan serta tunggakan VSS adalah tidak logik.

Katanya, perhimpunan itu juga mencadangkan agar kepimpinan negara ini yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dalam membela nasib bekas-bekas kakitangan Utusan yang pernah berkhidmat dengan akhbar yang sekian lama menjadi penyokong perjuangan orang-orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Semua kita tahu, Datuk Seri Ismail Sabri sudah tolong selesaikan isu tuntutan pampasan bekas pekerja Perwaja sebelum ini, dan kini kami berharap Datuk Seri dapat pula bantu kami bekas kakitangan Utusan,” kata Saifol Bakhiar.

Katanya, antara yang boleh dilakukan oleh Perdana Menteri adalah dengan memanggil pihak UHY dan wakil-wakil bekas pekerja untuk duduk berbincang mencari jalan bagaimana menyelesaikan isu tuntutan tersebut dan seterusnya menyelesaikan kes tuntutan di mahkamah.

“Kami juga berharap agar pihak Mahkamah Tinggi dapat mempercepatkan proses perbicaraan yang sedang berlangsung dan dijalankan dengan pertimbangan yang paling adil berpandukan prinsip pembelaan pekerja-pekerja yang ditindas.,” tambahnya.

Hasil daripada pertemuan hari ini juga memutuskan satu jawatankuasa pasukan bertindak ditubuhkan dengan mempunyai wakil dari semua pihak kumpulan pekerja dan bersetuju untuk menubuhkan satu kelab alumni yang mewakili semua bekas kakitangan.

Untuk itu, satu memorandum akan diserahkan kepada pihak UHY bagi menyelesaikan segala tuntutan dan hal-hal berkaitan, di samping satu memorandum lagi pula akan dihantar kepada Perdana Menteri selepas ini.

Selain itu, bekas kakitangan juga akan mengunjungi pejabat Kementerian Sumber Manusia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agensi-agensi itu menyiasat jika terdapat sebarang salah laku pengurusan ketika proses penutupan syarikat Utusan Melayu, penjualan permit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! kepada pemilik
baharu, proses penjualan aset Utusan dan kelewatan pelikuidasi melakukan pembayaran yang sepatutnya kepada bekas kakitangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here