Bekas Presiden MCA, Liow Tiong Lai yang tewas PRU14 sah bertanding semula di Bentong

0
47
Bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai

CYBERJAYA – Bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai sah akan bertanding semula bagi merampas kerusi Parlimen Bentong untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, seluruh ahli MCA telah berikrar menyokong penuh bekas Ahli Parlimen Bentong itu untuk bertanding semula selepas tewas dalam PRU lalu.

“MCA telah membuat keputusan untuk menyokong pencalonan semula Tiong Lai semenjak satu tahun setengah yang lepas, dan beliau merupakan calon MCA yang paling layak untuk kawasan P089 Bentong.

“Walaupun gagal mempertahankan Bentong pada PRU lepas, namun Tiong Lai tetap setia dan terus memberikan khidmat di kawasan tersebut, malah terus membantu warga Bentong sama ada ketika bencana banjir mahupun kebakaran besar di Karak.

“Beliau sentiasa berada di barisan hadapan membantu dalam usaha penempatan mahupun pembinaan semula untuk mangsa-mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, ketika pandemik Covid-19 melanda, Tiong Lai juga bertungkus lumus mengumpul dana dan barangan bagi membantu rakyat.

Tambah Ka Siong lagi, ramai di kalangan pengundi telah menyatakan keinginan yang kuat secara terbuka mahu Tiong Lai kembali menjadi wakil rakyat mereka, memandangkan sumbangan besarnya terhadap Bentong selama empat penggal menjadi Ahli Parlimen.

Sementara itu, Ka Siong turut melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mengatakan parti DAP akan mengumpul ‘peluru’ untuk membantu DAP Bentong ‘menembak’ Tiong Lai sehingga tersungkur.

Katanya, kenyataan itu disifatkan sebagai angkuh dan menyedihkan, yang keluar dari mulut seorang pemimpin yang tidak menghormati doktrin demokrasi.

“Seluruh ahli MCA akan memberikan sokongan tanpa belah bahagi bagi memastikan kemenangan Tiong Lai di Bentong, agar beliau dapat melaksanakan perancangan dan tugasan yang belum selesai, membawa kesejahteraan kepada penduduk serta mengembalikan pembangunan Bentong ke landasan yang betul,” ujarnya.

Pada PRU lalu Tiong Lai gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong, kawasan yang diwakilinya selama empat penggal, dengan majoriti 2,032 undi.

Bekas Menteri Kesihatan itu yang memperoleh 23,684 undi, ditewaskan Wong Tack dari PKR (25,716) manakala calon Pas, N Balasubramaniam mendapat menerima 5,706 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here