BN bukan pembohong laksanakan manifesto, cadangan 3 TPM bukannya ‘cakap kosong’

0
16

KIMANIS – Barisan Nasional tidak pernah berbohong dalam melaksanakan sebarang janji dalam manifesto.

Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika diminta mengulas mengenai cadangan lantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah dan Sarawak.

“BN tidak pernah bohong dari segi manifesto. Jadi, oleh kerana ini merupakan manifesto BN (jika dimasukkan), maka wajib kita akan laksanakan apa yang ditulis dalam manifesto, TPM dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Cadangan pelantikan TPM tersebut disyorkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekiranya perikatan itu menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata Ahmad Zahid, BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya cadangan berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS.

“Ini adalah pendekatan baharu dicadangkan oleh BN agar BN Sabah, GPS di Sarawak serta BN di Semenanjung, memasukkan ia dalam manifesto,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Gelombang Biru BN Zon 3 Sabah melibatkan Kimanis, Papar, Beaufort, Sipitang, di sini hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO; Naib Pengerusi BN, Datuk Arthur Kurup yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), dan Setiausaha Agung BN; Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi BN Sabah yang juga Timbalan Ketua Menteri; Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Ahmad Zahid berkata, adalah tidak mustahil untuk mempunyai tiga TPM masing-masing satu dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, selain yakin perdana menteri akan menerima cadangan berkenaan.

“Ini kerana jawatan TPM tidak ada dalam Perlembagaan. Itu sebabnya tidak ada jawatan TPM (ketika ini) yang ada hanyalah empat jawatan menteri kanan.

“Jadi, tidak mustahil kalau (ada) tiga jawatan TPM jika BN menang dengan dominan, maka jawatan itu akan disandang oleh mana-mana pemimpin dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk menduduk jawatan kedua penting negara,” katanya.

Kata Ahmad Zahid lagi, pelantikan tiga TPM berkenaan juga adalah selaras dengan semangat Sabah dan Sarawak, sebagai sebuah wilayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here