BN perlu berani letak lebih ramai calon muda bagi tawan hati pengundi baru – Aizat

0
41
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam bercakap pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra bersama Media di Hotel Primiera, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) digesa perlu lebih berani menampilkan ramai muka baharu terutamanya dalam kalangan calon muda bagi menarik pengundi muda yang bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam, ini kerana buat pertama kali dalam sejarah PRU apabila mereka yang berusia 18 secara automatik layak mengundi.

“Perkara ini adalah penting untuk BN kerana golongan pengundi muda yang pertama kali turun mengundi berasa lebih dekat dengan calon-calon muda yang bakal menjadi suara dan wakil mereka
di masa hadapan berbanding calon politik yang lebih senior.

“Selain itu golongan pengundi muda sekarang juga lebih bijak, peka dan mengambil berat mengenai manifesto yang diperjuangkan oleh calon atau parti tertentu,” katanya dalam sesi ramah mesra bersama media hari ini.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam bersembang bersama media pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra bersama Media di Hotel Primiera, Kuala Lumpur.

Tahun lalu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di mana usia layak
mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatik memberikan golongan umur itu hak mengundi pada PRU15.

Dalam pada itu katanya, bagi memberi keyakinan yang lebih kepada golongan muda, satu perancangan yang jelas perlu ditawarkan oleh BN.

“BN dan UMNO perlu menawarkan janji manifesto yang akan memberikan kelebihan dan keuntungan kepada orang muda dalam menarik minat mereka mempercayai BN.

“Sebab itu hanya calon muda sahaja yang pengundi boleh percaya akan membawa aspirasi golongan muda.

“Kita sedar manifesto merupakan satu janji dan pengundi muda pada hari ini sentiasa akan memikirkan tentang masa depan mereka untuk empat atau lima tahun akan datang.

“Mereka hendak tahu selepas PRU15 apakah jaminan masa depan dan kestabilan mereka bagi meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan dengan gaji
yang wajar,” katanya yang berasal dari Merbok, Kedah.

Sementara itu, Aizat Azam berkata, BN perlu mengekalkan strategi dalam meraih kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu yang banyak dipengaruhi faktor calon muka baharu dan strategi menarik undi orang muda.

Jelas beliau, strategi tersebut memperlihatkan gabungan itu memperolehi 40 daripada 56 kerusi
yang ditandingi mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here