BN Putrajaya alu-alukan sesiapa sahaja calon lawan – Ku Nan

0
15

PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) Putrajaya tidak menganggap pencalonan Menteri Kanan Pendidikan interim, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen itu sebagai satu ancaman.

Sebaliknya, Pengerusi BN Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN bersikap terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berhasrat untuk bertanding atas semangat demokrasi.

“BN tidak gentar dan yakin dapat mempertahan kerusi Parlimen Putrajaya dan bukannya calon yang muncul (hanya) ketika pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas Program Generasi Anak Muda di Presint 16, di sini malam tadi.

Program yang bermula pada pukul 9 malam itu dihadiri seramai kira-kira 7,000 penduduk dan pengundi.

Rabu lalu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Jelajah Prihatin di Presint 16 mengumumkan Mohd Radzi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai calon Parlimen Putrajaya.

Tengku Adnan yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya berkata, jentera BN Putrajaya sudah siap sedia menghadapi PRU-15 dan setakat ini hanya beliau dinamakan sebagai calon Parlimen Putrajaya.

Katanya, beliau bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan semula dan berserah kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

“Secara keseluruhannya tahap kesediaan jentera BN di tujuh Peti Daerah Mengundi (PDM) sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRU-15,” katanya.

Untuk rekod Tengku Adnan adalah Ahli Parlimen Pertama di Putrajaya dan berjaya mempertahankan BN di kerusi itu sejak empat penggal lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here