Bubar DUN : DAP belum capai kata sepakat

0
7
Loke Siew Fook

DAP masih belum mencapai kata sepakat sama ada untuk membubarkan DUN Pulau Pinang, menurut setiausaha agungnya, Loke Siew Fook.

Ditanya sama ada parti telah memutuskan perkara itu selepas mesyuarat selama dua jam malam tadi, Loke berkata “tiada keputusan dibuat”.

“Maaf, kami tiada pengumuman untuk dibuat malam ini,” katanya lapor portal FMT.

Pemimpin lain yang dilihat meninggalkan mesyuarat itu termasuk Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Timbalan Pengerusi Gobind Singh Deo dan Naib Pengerusi Kebangsaan Teresa Kok.

Semalam, Guan Eng berkata, Pakatan Harapan (PH) harus terbuka untuk mengadakan pilihan raya DUN dan Parlimen serentak di Pulau Pinang, memetik kemungkinan peratusan keluar mengundi rendah jika pengundian diadakan secara berasingan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow juga berkata, beliau lebih suka kedua-dua pilihan raya itu diadakan serentak.

Katanya, DAP Pulau Pinang telah menyampaikan “hujah terbaik” untuk menyokong cadangannya apabila pimpinan tertinggi parti itu bermesyuarat pada Selasa.

Sebelum ini, portal itu melaporkan bahawa DAP dan PKR bercanggah pendapat sama ada tiga negeri yang dikuasai PH – Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – perlu mengadakan pilihan raya serentak dengan pilihan raya umum (PRU).

Pada Selasa, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kerajaan negeri melengkapkan penggal penuhnya.

Bagaimanapun, setiausaha sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Munir Bani menjelaskan semalam bahawa Amirudin yang juga Naib Presiden PKR, tidak meminta perkenan diraja untuk membubarkan DUN semasa menghadap baginda pada 11 Okt.

Negeri Sembilan telah mengumumkan bahawa ia berkemungkinan besar akan mengadakan PRN tahun depan, tertakluk kepada keputusan Majlis Presiden PH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here