Calon dari Friends of BN ditentukan selepas pembahagian kerusi antara komponen BN selesai – Mahdzir

0
8
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid

ALOR STAR – Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan terlebih dahulu senarai calon sebelum membuat keputusan untuk menyerahkan kerusi tertentu kepada parti gabungan (Friends of BN).

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, BN yang merangkumi UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dijangka memuktamadkan senarai akhir calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.

Katanya, hanya selepas semua urusan berkenaan selesai, keputusan sama ada menyerahkan kerusi bagi ditandingi parti gabungan akan diputuskan dan diluluskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“BN ada empat parti komponen dan kita perlu selesaikan dulu pembahagian kerusi untuk parti komponen yang dalam proses dimuktamadkan, kemudian baru kita tentukan kedudukan parti ‘Friends of BN’ ini.

“Penentuan di mana kerusi parti ‘Friends of BN’ ini, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diputuskan Pengerusi BN, jadi sebelum penamaan calon 5 November kita boleh tahu keputusannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Kemahiran Malaysia ([email protected]) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kali Ke-13, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan, akan mempertimbang memilih calon dalam kalangan parti gabungan bagi bertanding PRU15 berikutan jasa mereka membantu kemenangan BN dalam siri pilihan raya kecil (PRK) dan negeri.

Antara yang disebut bakal bertanding mewakili parti gabungan adalah penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dijangka bertanding mewakili BN selepas Parti Bangsa Malaysia (PBM) memohon menjadi parti gabungan.

Sementara itu, mengulas keyakinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar, bahawa gabungan itu bakal menang di 15 kerusi Parlimen di Kedah, beliau berkata, setiap parti perlu berfikir secara munasabah dalam membuat sasaran.

“Saya kenal Mahfuz secara peribadi, kalau ada 16 kerusi Parlimen pun dia akan kata (menang) 16, nasib ada 15 (kerusi Parlimen) saja di Kedah dan dia tak terlajak kata 16 (kerusi Parlimen).

“Saya berasakan setiap pihak kena berfikir secara munasabah, saya tak fikir apa yang Mahfuz cakap akan jadi kenyataan. Dia pun main tembak saja, jadi tak apa, biarkan dia,” katanya.

Semalam, Mahfuz yang juga penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, memaklumkan PH akan meletakkan calon di semua 15 kerusi Parlimen di Kedah dan yakin menang di semua kerusi terbabit pada PRU15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here