Capaian jalur lebar 4G Sarawak catat peningkatan memberangsangkan 

0
6
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. Foto-BERNAMA

KUALA LUMPUR – Capaian jalur lebar 4G di kawasan berpenduduk bagi Sarawak mencatatkan peningkatan sebanyak 9.17 peratus pada suku kedua 2022 menerusi teknologi JENDELA hasil inisiatif yang diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kerajaan telah mempercepat penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit daripada JENDELA sehingga ke pedalaman Sarawak.

“Perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi satelit daripada JENDELA Fasa 2 ke Fasa 1 dengan keseluruhan 523 lokasi telah siap dipasang di seluruh kawasan pedalaman di Sarawak.

“Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak telah meningkat kepada 82.84 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem mengenai komitmen K-KOMM dalam memastikan liputan jalur lebar yang menyeluruh di kawasan pedalaman Sarawak dalam sidang Parlimen di sini, hari ini.

Tambah Zahidi lagi, penambahbaikan liputan jalur lebar ke seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman akan diteruskan melalui Pelan JENDELA Fasa 2 bagi tahun 2023 hingga 2025

“Semua inisiatif ini melibatkan peruntukan Kerajaan melalui Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dan pelaburan komersial oleh syarikat pemberi perkhidmatan melebihi RM4 bilion di Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.12 bilion telah siap dilaksanakan manakala baki RM1.9 bilion lagi dalam peringkat pelaksanaan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP).

“Secara keseluruhannya, Projek PoP Fasa 1 akan melibatkan 630 lokasi dan Fasa 2 pula akan melibatkan 3,693 lokasi berhampiran sekolah di kawasan luar bandar di seluruh negara,” katanya.

Untuk rekod, jumlah PoP secara keseluruhan di Sarawak adalah sebanyak 741.

Daripada jumlah tersebut, 5 kawasan berhampiran sekolah luar bandar di Parlimen Serian dan 1 kawasan di Parlimen Betong akan terlibat dengan pelaksanaan PoP Fasa 1 manakala sebanyak 31 di Parlimen Serian dan 20 di Parlimen Betong akan terlibat dalam Fasa 2.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here