Dakwa berlaku penyelewengan di KPM: Radzi Jidin gesa Zaharin buat laporan kepada SPRM

0
36
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin

CYBERJAYA – Datuk Dr Radzi Jidin menggesa supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan di Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

Menteri Kanan Pendidikan itu berkata, pada masa sama beliau juga mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof turut membuat laporan sama.

“Saya menerima hantaran video yang dibuat oleh Saudara Zaharin Yassin menyatakan bahawa terdapat aduan yang beliau terima tentang penyelewengan di KPM berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

“Memandangkan nama saya dan KSU KPM turut disentuh, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPM untuk membuat laporan segera kepada SPRM supaya siasatan terhadap dakwaan tersebut dilaksanakan secepat mungkin,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta supaya Zaharin dapat menyampaikan maklumat yang diterima kepada SPRM.

Terdahulu dalam satu hantaran video Zaharin mendakwa sebelum SST dikeluarkan, pihak tertentu dalam KPM telah menganugerahkan tender tersebut.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan dalam laman Facebooknya, Zaharin menyambut baik maklum balas Menteri Pendidikan.

“Dengan respond dari Menteri Pendidikan. Akan membersihkan nama beliau. Terima Kasih YB Menteri.

“Kesian saya jika beliau bertanding dalam PRU15. Isu ini akan digunakan menyerang beliau.. Harap Menteri lain mencontohi beliau,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here