Digugurkan dari STL: Pemain apit kanan Putrajaya Cyborg nekad ‘gantung kasut’

0
5830
Suhairi Sulaiman nekad menggantung kasut selepas kecewa dengan pengguguran pasukannya dari STL 2023.

PUTRAJAYA – Pemain apit kanan Putrajaya Cyborg, Muhammad Suhairi Sulaiman nekad untuk ‘menggantung kasut’ daripada terlibat dalam sukan sepak takraw selepas kecewa dengan keputusan penganjur Liga Sepak Takraw (STL) yang menggugurkan pasukan itu dan Selangor Piston daripada menyertai pertandingan pada musim hadapan.

Suhairi yang lebih mesra disapa sebagai Ceri berkata, keputusan menggugurkan kedua-dua pasukan dari Lembah Klang itu sangat mengecewakan dan membunuh semangat pemain serta peminat untuk terus memperjuangkan permainan warisan negara itu.

“Terkuburnya Putrajaya Cyborg dan Selangor Piston disaingan STL 2023. Saya telah membuat keputusan untuk tidak lagi beraksi di peringkat kebangsaan mewakili mana-mana negeri atau kelab.

“Bagi ada negeri yang offer saya minta maaf. Mungkin kita boleh bekerjasama dalam bidang yang lain.

“Terima kasih untuk kenangan STL dari edisi yang pertama hinggalah 2022,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Baru-baru ini Pengurus Putrajaya Cyborg, Shahzan Ismail mengesahkan mengenai berita pengguguran itu.

Pasukan Putrajaya Cyborg

Difahamkan kedua-dua pasukan itu tidak menerima jemputan gara-gara kemelut antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf).

Sementara itu seorang peminat sepak takraw tempatan, Mustafa Yasa, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya susulan penyingkiran kedua-dua pasukan itu akibat ego dua persatuan sukan tersebut.

Katanya, STL yang sebelum ini menjadi liga yang dihormati kini dilihat sebagai liga paling dibenci.

“Pihak penganjur seperti boneka yang dipergunakan persatuan sukan berkenaan dan hanya akur mengikut telunjuk mereka dengan tidak menyenaraikan pasukan-pasukan yang layak untuk beraksi disaingan STL pada kali ini.

“Alangkah malangnya bagi peminat, pemain dan penggiat sukan sepak takraw yang merasa jelak dengan keputusan ini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here