Dua lagi didakwa terlibat penculikan warga Palestin

0
15
Suspek diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan menculik warga Palestin di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. – Foto FMT

KUALA LUMPUR – Dua lagi lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang warga Palestin bulan lepas.

Tertuduh dikenali sebagai Mohd Zaidi Zain, 54, dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 49.

Kedua-dua mereka didakwa di hadapan Majistret Wong Chai Sia. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan ini sama seperti pertuduhan terhadap 11 orang yang terlibat dalam kes sama dua minggu lalu.
Mereka telah dituduh secara bersama menculik lelaki warga Palestin, Omar ZM Albelbaisy Reeda bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit

Mohd Zaidi dan Tengku Hazarul didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang pada 10.40 malam pada 28 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat.

Pendakwaan dijalankan oleh Kamarul Aris Kamalludin dan Fatin Hanum Abdul Hadi, manakala tertuduh berkenaan tidak diwakili.

Polis menahan 18 orang dari beberapa lokasi di Lembah Klang berhubung penculikan warga Palestin.

Mangsa yang dipercayai ahli perniagaan berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi sebutan semula kes.

Kumpulan tertuduh sebelum ini dipercayai direkrut oleh agensi perisikan Israel Mossad untuk menculik mangsa, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan organisasi Palestin Hamas.

Polis masih belum mengesahkan atau menafikan dakwaan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here