Festival Simfoni Cempuling disambut meriah, muzik tradisional Melayu bergema di Malakat Mall

0
18
Pasukan Cempuling D Manggis membuat persembahan sempena Program Festival Simfoni Cempuling Selangor di Malakat Mall, semalam. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

CYBERJAYA – Program Festival Simfoni Cempuling Selangor disambut dengan penuh kemeriahan dengan dendangan muzik tradisional Melayu di ruang legar Malakat Mall di sini, semalam.

Menurut YDP Persatuan Armada Warisan Kesenian dan Kebudayaan Muzik Ala Melayu Malaysia (Armada Dendang), Ismail Hamid, festival berkenaan diadakan untuk memperkenalkan seni Cempuling kepada orang ramai.

“Program ini adalah anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Armada Dendang, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Selangor (JKKN) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Seni Selangor (PADAT).

“Tujuan program ini adalah untuk menaikkan dan memperkenalkan cempuling ini kepada masyarakat mungkin mereka yang dah lama tak dengar dan tak pernah perkataan ‘cempuling’ ini pun akan rasa perkara ini adalah benda yang baharu buat mereka,” katanya kepada Malakat Tribune di sini, semalam.

YDP Persatuan Armada Warisan Kesenian dan Kebudayaan Muzik Ala Melayu Malaysia (Armada Dendang), Ismail Hamid

Ditanya mengenai konsep yang ditampilkan dalam festival itu, Hamid berkata, konsep yang diketengahkan adalah persembahan ala Melayu yang santai.

“Kita buat konsep dalam keadaan ala Melayu yang santai yang mana semua dapat tengok persembahan cempuling ini maknanya semua akan lihat persembahan tersebut.

“Kumpulan yang membuat persembahan adalah sebanyak 16 kumpulan dan setiap kumpulan akan mempersembahkan persembahan mereka jadi kita akan susun persembahan itu sampai selesai 16 kumpulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamid berkata, muzik Cempuling ini berkait rapat dengan agama Islam kerana digunakan sebagai medium dakwah di tanah Jawa suatu ketika dahulu.

“Cempuling ini sebenarnya muzik gendang dan lebih kepada tradisional sebab dia asal daripada Jawa yang mana orang zaman dahulu mereka menggunakan gendang untuk berqasidah dan selawat.

“Asalnya pula digunakan sebagai medium dakwah di tanah Jawa ketika era Wali Songo, tersebar ke Tanah Melayu selepas penghijrahan etnik itu pada dekad 20an,” katanya lagi.

Dalam pada itu, festival yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu itu juga bukan sahaja disertai oleh pelajar sekolah sekitar Selangor malah turut disertai oleh peserta warga emas.

Menurut, Halisa Safirah binti Hang Jebat, 13, salah seorang peserta program, dia yang baru berkecimpung selama satu bulan dalam seni Cempuling ini berasa teruja melakukan persembahan Cempuling bersama kumpulanya.

Halisa Safirah binti Hang Jebat, 13, salah seorang peserta program.

“Kami mula berlatih sejak sebulan yang lalu dibawah seliaan guru kami di SMK Sungai Manggis, Banting dan hari ini adalah merupakan persembahan kami yang kedua,” katanya.

“Pada mulanya agak gugup tapi bila sudah naik pentas rasa gugup itu hilang dan saya boleh menyanyi seperti biasa sebab kawan-kawan semua ada,” katanya.

Katanya lagi, dia berharap agar seni Cempuling ini tidak lapuk ditelan zaman dan program-program yang melibatkan Cempuling ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here