Foto kontes : Standard kita masih jauh

0
51
Pengkarya seni foto sepatutnya tidak berkompromi dengan penganjur yang mengenakan terma dan syarat yang bersifat menindas dalam pertandingan yang dianjurkan.

BARU-BARU ini kecoh di media sosial pasal sekeping gambar yang dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan fotografi anjuran Tourism Malaysia.

Gambar malam di Pintasan Saloma berlatar belakang Menara KLCC diumumkan sebagai ‘gambar menang’, melalui perkongsian Facebook agensi berkenaan yang kemudian dipadam selepas dihujani kritikan.

Hantaran itu mendapat kecaman hebat peminat fotografi dan orang awam. Ada juga peminat astronomi yang menyifatkan pemilihan gambar itu sangat tidak peka kepada fakta sains yang begitu asas.

Meskipun terma dan syarat pertandingan tersebut membenarkan penyuntingan dilakukan, kesan manipulasi pada karya itu jelas memaparkan kesilapan visual melibatkan pertindihan imej bintang di atas bulan.

Itu belum mengambil kira bintang-bintang bergemerlapan seolah-olah gambar itu dirakam di tengah-tengah hutan belantara. Tanpa pencemaran cahaya.

Pada saya, pemilihan gambar tersebut memang tidak masuk akal kerana tidak mencerminkan sikap profesional, ketelitian dan penilaian pada seni fotografi.

Jika ia pertandingan anjuran syarikat kecil-kecilan di media sosial, mungkin boleh sahaja diterima, tapi ini melibatkan agensi penggalak pelancongan rasmi negara.

Kerana gambar-gambar yang dipilih memenangi foto kontes anjuran Tourism Malaysia akan menjadi rujukan pelayar Internet dari seluruh dunia. Dalam kes ini, ia menjadi bahan jenaka.

Lupakan seketika isu pertandingan itu, semoga pihak yang berkenaan mengambil pengajaran kerana penulis mempunyai teguran yang lebih penting dalam tulisan ini.

Kontroversi melibatkan pertandingan fotografi di negara ini sebenarnya bukan perkara baharu cuma tidak begitu dilapor sehingga kurang pemahaman mengenainya.

Ditenggelamkan pula oleh teknologi kamera di telefon, ramai yang sekadar melihat foto kontes sebagai ‘for fun only’ walhal di luar negara, pertandingan atau pun pameran foto diadakan dengan penuh tertib dan apresiasi.

Di Malaysia, penganjurannya seperti ‘tersangkut’ di takuk lama, tiada penggalakan untuk seni itu berkembang bah semakin nazak ditelan kapitalisme.

Bagaimana? Apabila pertandingan diadakan bukan untuk menghargai seni sebaliknya untuk memenuhi kehendak dan keuntungan penganjur.

Ramai penganjur menjadikan pertandingan fotografi sebagai cara mudah dan paling ‘murah’ untuk mendapatkan gambar-gambar terbaik tanpa perlu menggajikan jurugambar profesional.

Tidak dinafikan ini adalah sebahagian mentaliti penganjur di luar sana.

Platform yang sepatutnya mampu memberikan imbuhan setimpal kepada pengkarya fotografi itu diperah sehabis mungkin, dengan terma dan syarat yang berat sebelah.

Gambar hiasan.

Terma-terma seperti yang saya nyatakan di bawah ini adalah antara bentuk penindasan biasa dalam penganjuran foto kontes yang diadakan di negara ini.

i) Dengan menyertai peraduan ini, segala penyertaan adalah menjadi hak milik penganjur.

ii) Penganjur berhak sepenuhnya untuk menggunakan gambar penyertaan di mana-mana platform tanpa pemberitahuan kepada jurugambar.

iii) Gambar penyertaan tidak boleh digunakan oleh jurufoto untuk sebarang kegunaan dan pertandingan lain.

Nampak seperti logik dan amalan biasa? Mungkin iya pada yang tidak pernah memahami standard penganjuran foto kontes.

Jika di luar negara, terma dan syarat pertandingan seperti ini bukan sahaja ditolak malah dianggap sebagai satu pelacuran hak milik.

Cabaran mendapatkan sekeping gambar yang baik biasanya menuntut ‘modal’ dan usaha yang tinggi.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili syarikat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here