Harga pasaran ayam masih di bawah harga kawalan maksimum

0
5
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Harga pasaran ayam masih berada di bawah harga kawalan maksimum yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram.

Berdasarkan cerapan harga harian di seluruh negara pada Sabtu lalu, harga purata nasional adalah sebanyak RM9.18 sekilogram.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd Yusof dalam satu kenyataan hari ini, harga purata bagi Semenanjung Malaysia pula adalah sebanyak RM9.13 sekilogram.

“Ini bermakna, harga ayam runcit sebenarnya masih di bawah harga kawalan maksimum RM9.40 sekilogram,” katanya bagi mengulas laporan media mengenai peningkatan harga runcit ayam ketika ini.

Menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, harga maksimum runcit ayam untuk Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard ditetapkan pada RM9.40 sekilogram manakala ayam super pada RM10.40 sekilogram.

Harga maksimum runcit telur ayam bagi gred A ditetapkan pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Sementara itu, beliau menambah, seperti komoditi lain, harga bagi ayam dan telur ayam akan turut terkesan dan mengalami perubahan, selaras dengan pergerakan kos input pengeluaran seperti jagung bijian dan dedak soya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here