Hina mahkamah: Lokman Adam kekal dipenjara sebulan

0
19
Lokman Noor Adam

PUTRAJAYA – Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kekal dipenjara sebulan selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini berikutan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan hari ini yang menolak rayuan Lokman untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 15 Julai tahun lepas.

Memetik laporan Awani, panel tiga hakim itu turut menolak rayuan silang dikemukakan pendakwaan terhadap hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

“Tiada sebab bagi panel ini untuk mengusik keputusan Mahkamah Tinggi kerana hakim berkenaan telah membuat pertimbangan yang betul dengan mengambil kira kepentingan awam dan faktor sampingan lain ketika mencapai keputusannya,” ujar Hakim Che Ruzima ketika membacakan keputusan tersebut.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here