Hospital Cyberjaya akan mula beroperasi 11 November ini sebagai hospital awam

0
42
Hospital Cyberjaya

CYBERJAYA – Kabinet yang bermesyuarat pada Jumaat minggu lalu bersetuju supaya Hospital Cyberjaya di sini dioperasikan sepenuhnya sebagai hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, di peringkat awal fasa pengoperasian, Hospital Cyberjaya akan melaksanakan enam perkhidmatan kepakaran.

Katanya, ia melibatkan Jabatan Kecemasan, Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan dan Jabatan Anesthesiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.

“Pengoperasian Hospital Cyberjaya sebagai Hospital Pakar Major akan dilaksanakan secara berfasa bermula 11 November hadapan.

“Ia bakal menawarkan sebanyak 14 bidang kepakaran dan perkhidmatan kesihatan
seperti Perkhidmatan Kecemasan, Perubatan Am, Pembedahan Am, Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Pediatrik dan Ortopedik.

“Selain itu, Anestesiologi, Oftalmologi, Otorinolaringologi, Radiologi, Patologi, Psikiatri dan Kesihatan Mental, Rehabilitasi dan
Pergigian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, hospital itu dibina di atas tapak berkeluasan 12.859 ekar, hospital dengan ketinggian sembilan tingkat.

Katanya, bangunan itu yang telah mula dibina pada 15 Ogos 2017 dilengkapi dengan 288 katil, blok kecemasan dan juga kemudahan 1,006 parkir termasuk 790 di parkir bertingkat.

Dalam pada itu, beliau berkata, jemaah menteri pada 5 Mei lalu telah bersetuju secara prinsip dengan hala tuju pengoperasian Hospital Cyberjaya dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan sewaan dengan terma dan syarat serta perbincangan terperinci diterajui oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya juga menyedari keperluan mendesak untuk sebuah klinik kesihatan baharu di daerah Sepang bagi mengurangkan kesesakan yang dihadapi di Klinik Kesihatan Dengkil.

“Justeru, saya telah memutuskan supaya sebuah Klinik Kesihatan baharu dibuka di Cyberjaya bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di
daerah Sepang dan kawasan sekitar.

“Menerusi keputusan ini, sebahagian daripada bangunan di dalam kawasan Hospital Cyberjaya akan dibuka dan beroperasi sebagai Kilinik Kesihatan Cyberjaya bagi rawatan pesakit luar.

“Klinik Kesihatan Cyberjaya ini akan mula
beroperasi pada 1 November 2022,” ujarnya.

Khairy berkata, pengoperasian Hospital Cyberjaya sebagai sebuah hospital awam dan pembukaan Klinik Kesihatan Cyberjaya akan memberikan akses perkhidmatan kesihatan kerajaan yang berkualiti dan menyeluruh kepada penduduk sekitar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here