Hospital Serdang cipta rekod, lakukan 64 prosedur angiogram dan 37 sten sehari

0
479
Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah (kanan) memantau prosedur angiogram yang dilakukan di Kardiologi Hospital Serdang baru-baru ini.

SERDANG – Pasukan Kardiologi Hospital Serdang berjaya mencipta rekod dengan melakukan 64 prosedur angiogram dan 37 pembedahan jantung ‘Percutaneous Coronary Intervention’ (PCI) atau stent kepada 68 pesakit selama 21 jam tanpa henti.

Menurut Ketua Pasukan Kardiologi Hospital Serdang, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah, prosedur rawatan itu yang dilakukan pada pukul 8 pagi pada 7 Oktober berakhir pada pukul 5 pagi keesokan harinya .

Dr Asri Ranga berkata, sepanjang rawatan itu dibuat beliau turut dibantu oleh Dr Raqib Ghani dan Dr Faizal Khan yang merupakan Pakar Perunding Kardiologi.

“Pakar Kardiologi yang lain yang turut bertugas adalah Dr Sathvin Singh, Dr Shargunam, Dr Dalilah, Dr Chan Mei Hwa, Dr Benjamin dan Dr Firdaus.

“Terdapat juga pasukan paramedik yang terdiri daripada jururawat, pegawai pembantu perubatan dan juru XR seramai hampir 30 orang.

“Ketua jururawat yang bertugas pada masa tersebut adalah Noriza Mohd dan Wan Norisa Wan Ibrahim,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kesemua pesakit selamat menjalani prosedur dan telah dibenarkan discaj pada hari berikutnya.

Beliau berkata, sejak Jabatan Kardiologi diwujudkan pada 2006 di bawah kelolaan Ketua Jabatan Datuk Dr Abdul Kahar Abdul Ghapar, ini adalah satu rekod kes angiogram koronari tertinggi pernah melakukan dalam sehari.

“Setiap tahun, kes angiogram mencecah 6,000 kes setahun dan PCI atau stenting menjangkau 3,000 kes setahun.

“Kami jangka dengan pembukaan blok baru Pusat Jantung Serdang kelak, kami akan menjadi lebih sibuk memberi perkhidmatan jantung yang terbaik kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here