Hujan lebat di ibu kota, terowong Smart ditutup pagi ini

0
11
Laluan terowong lebuhraya Smart yang mempunyai fungsi lencongan air.

CYBERJAYA – Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) mengesahkan penutupan penuh terowong Lebuhraya Smart di ibu negara pagi ini sebagai pencegahan banjir kilat ekoran hujan lebat di Lembah Klang.

SMART dalam kenyataannya berkata, penutupan terowong sepanjang 9.7 kilometer itu dibuat untuk melencongkan air susulan berlaku limpahan dan takungan air di beberapa sungai di sekitar ibu negara.

Sebahagian daripada sungai juga dilaporkan melepasi tahap bahaya berikutan hujan lebat selama beberapa jam awal pagi tadi.

“Terowong Smart ditutup sepenuhnya bagi persediaan operasi banjir,” katanya.

Operasi terowong SMART kini pada Mod 3.

SMART turut memaklumkan operasi terowong bawah tanah itu kini mengaktifkan Mod 3, di mana terowong trafik ditutup dan dikosongkan daripada kenderaan, manakala air banjir dialirkan di bahagian bawah terowong.

Terowong Smart memiliki empat mod operasi, dengan Mod 4 adalah yang tertinggi dan akan diaktifkan sekiranya air banjir perlu dialirkan ke laluan trafik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here