Hukuman terhadap Cikgu Fadli belum diputuskan, Lembaga Tatatertib bersidang esok – KP Pelajaran

0
50
Cikgu Fadli

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil maklum perkara yang dibangkitkan di media sosial berkaitan Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Pkharuddin Ghazali, surat yang dihantar kepada cikgu tersebut bukan surat yang membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib.

Sebaliknya katanya, surat tersebut bertujuan memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang telah diterima oleh Pihak Berkuasa Tatatertib serta keperluan untuk beliau mengemukakan representasi bertulis.

“Pihak Lembaga Tatatertib telah menerima surat representasi daripada Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh pada 14 Oktober 2022. Lembaga Tatatertib dijadualkan bersidang pada hari Isnin, 17 Oktober 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Pkharuddin Ghazali

Katanya, prosiding tatatertib itu dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 yang diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat.

Pkharuddin berkata, peraturan itu turut terpakai kepada dirinya sendiri.

Semalam Mohd Fadli atau popular dengan panggilan ‘Cikgu Fadli’ di media sosial mendedahkan beliau menerima surat tindakan tatatertib yang boleh menyebabkan dia dibuang kerja atau turun pangkat.

Tindakan Cikgu Fadli dipercayai berkait dengan kelantangan beliau memperjuangkan beberapa isu pendidikan seperti silibus mata pelajaran yang terlalu ‘berat’, isu beg sekolah berat, bilik darjah terlalu padat dan kewujudan ‘Little Napoleon’ dalam sistem pendidikan yang merosakkan sistem pendidikan negara.

Susulan itu Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan guru berkenaan untuk memahami dengan lebih lanjut permasalahan berhubung isu yang dibangkitkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here