IBN medan anak muda suarakan idea jadikan Malaysia lebih progresif – PM

0
14

CYBERJAYA – Hampir 58 peratus daripada 12,000 anak muda yang menyumbang idea kepada platform digital Idea Bina Negara (IBN) merupakan golongan berusia antara 18 hingga 21 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sasaran IBN adalah memastikan input suara belia dan anak muda didengari dan meningkatkan semangat patriotik dan nasionalisme sekaligus menjadikan Malaysia lebih progresif.

“Inisiatif platform digital IBN ini telah membuka ruang kepada seluruh anak muda untuk menyalurkan idea dan menyuarakan permasalahan kepada kerajaan.

Berdasarkan data dan maklumat yang diperolehi ini, akan membantu Kerajaan untuk menyediakan inisiatif dan insentif yang bersesuaian untuk golongan anak-anak muda,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian IBN 2022 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, hari ini.

Antara perkara yang disuarakan menerusi aplikasi ini, kata Perdana Menteri, termasuk isu politik dan kenegaraan.

“Suara anak muda Malaysia – kami dengar, kami cakna dan kami santuni. Melalui analisis teks menggunakan teknologi kepintaran buatan (atau Artificial Intelligence) menunjukkan idea-idea yang diajukan melalui aplikasi IBN ini bersifat positif dan membina.

“Sebanyak 12 peratus anak muda telah menyuarakan tentang isu politik dengan menyentuh aspek kestabilan, prestasi kerajaan serta kualiti dan kematangan pemimpin,” kata Perdana Menteri.

Beliau kemudiannya menjelaskan, anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara.

IBN merupakan sebuah platform digital yang dibangunkan bagi membolehkan ahli Keluarga Malaysia terutama golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here