Ibu bapa kanak-kanak bermain di balkoni pangsapuri dipanggil polis

0
21
Tangkap layar dua kanak-kanak berdiri di balkoni rumah yang dirakam penghuni dari unit berhampiran.

KUALA LUMPUR – Pasangan penjaga kepada dua kanak-kanak yang bermain di balkoni sebuah pangsapuri di Setapak dalam satu video yang tular ditahan polis untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Sama dalam kenyataan berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak berusia empat dan dua tahun itu dipanggil untuk memberi keterangan selepas laporan mengenai kejadian itu dibuat.

Menurut beliau, satu laporan polis diterima pegawai dari Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Ashari berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika penjaga berada di rumah namun tidak menyedari perlakuan anak-anak mereka.

“Difahamkan, ibu bapa terbabit telah dipanggil untuk dirakam percakapan oleh pegawai penyiasat dan telah dibenarkan pulang malam tadi.

“Pegawai penyiasat akan lengkapkan siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak (2001),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

“Polis menasihati ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak kecil bersendirian tanpa pengawasan kerana perbuatan itu boleh dianggap sebagai satu kecuaian di bawah Akta Kanak- Kanak.

“Kita juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam video yang tular di media sosial semalam, dua kanak-kanak dirakam berada di belebas tingkap sebuah pangsapuri oleh penduduk di kediaman berhampiran.

Video berkenaan menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap ibu bapa yang tidak peka kepada aspek keselamatan kanak-kanak di kediaman tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here