Insiden Kanjuruhan: Ketua Polis Malang dipecat

0
23

MALANG – Ketua Polis Malang, Ferli Hidayat dipecat susulan insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan yang mengorbankan 131 orang, baru-baru ini.

Laporan portal Kompas memberitahu, jawatan itu kini diisi oleh Putu Kholis Aryana yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Polis Pelabuhan Tanjung Priuk Metro Jaya.

Ferli pula akan ditugaskan sebagai Perwira Menengah Polisi (Pamen) di Jabatan Bidang Sumber Daya Manusia (SSDM) Polis Republik Indonesia.

Keputusan itu dibuat oleh Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo menerusi surat yang dikeluarkan kelmarin.

“Keputusan ini dibuat oleh Ketua Polis Negara selepas mendapatkan laporan hasil analisis dan penilaian pasukan siasatan khas mengenai tragedi di stadium itu,” kata Ketua Perhubungan Awam Polis Indonesia, Dedi Prasetyo.

Menurut Dedi, Listyo turut mengarahkan Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta melucutkan jawatan sembilan anggota Komander Kompeni Batalion dan Komander Platun Brimob Jawa Timur.

Dalam perkembangan sama, pihak polis turut menjalankan pemeriksaan terhadap 28 anggotanya yang didakwa melanggar kod etika dalam tragedi Stadium Kanjuruhan.

Insiden yang berlaku malam Sabtu lalu turut menyebabkan 21 penonton mengalami kecederaan parah dan 304 orang mengalami kecederaan ringan.

Kebanyakan mangsa maut akibat dipijak dan sesak nafas sehingga mati selepas suasana bertukar panik akibat polis melepaskan gas pemedih mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here