Insiden Stadium Kanjuruhan: FAM ambil iktibar, perketatkan kawalan kemasukan stadium

0
14
Insiden itu tercetus apabila penyokong Arema FC merusuh selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya.

CYBERJAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memperketatkan kawalan masuk ke stadium sebagai satu satu iktibar insiden rusuhan di Indonesia, malam tadi.

Laporan Bernama menyebut Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman sebagai berkata, walaupun Malaysia mempunyai kawalan keselamatan yang baik di stadium, langkah berjaga-jaga perlu bagi mengelakkan insiden di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut ratusan nyawa itu, daripada berlaku di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, FAM turut akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong ke dalam stadium.

“Memang kami di pihak persatuan (FAM) dan jawatankuasa keselamatan sentiasa berhati-hati.

“Saya sendiri yakin dengan jawatankuasa keselamatan FAM di bawah Datuk Seri Hazani Ghazali melaksanakan tugas mereka selama ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Menurut laporan media, insiden di Stadium Kanjuruhan itu tercetus apabila penyokong Arema FC merusuh selepas pasukan mereka tewas 3-2 kepada Persebaya Surabaya.

Setakat ini dilaporkan 174 maut manakala lebih 180 lagi cedera.

Noor Azman pada masa sama berkata, insiden di negara jiran itu perlu dijadikan pengajaran buat penyokong bola sepak tanah air supaya sentiasa menunjukkan semangat kesukanan tinggi, selain perlu bersikap terbuka ketika hadir menyaksikan sebarang perlawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.

“Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Malang semalam dan dengan semangat setiakawan sebagai negara serumpun saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here