Insiden Stadium Kanjuruhan: Gunakan gas pemedih mata, Polis Indonesia dikecam teruk

0
28

JAKARTA – Polis Indonesia dikecam teruk kerana tindakan mereka melepaskan gas pemedih mata ke arah penonton yang menceroboh masuk ke padang dalam insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang, semalam.

Dalam insiden itu, seramai 125 orang dilaporkan terbunuh manakala 323 lagi tercedera.

Insiden itu tercetus apabila penyokong kelab bola sepak Arema FC menyerbu ke dalam padang selepas pasukan itu tewas 3-2 kepada pasukan pelawat dan seteru ketat mereka, Persebaya Surabaya.

Polis yang menyifatkan situasi di Stadium Kanjuruhan sebagai rusuhan berkata, mereka cuba memaksa peminat kembali ke tempat duduk masing-masing dan melepaskan gas pemedih mata selepas dua anggotanya terbunuh.

Ramai mangsa maut akibat dipijak dan sesak nafas, kata pihak polis.

Jurulatih bola sepak Arema, Javier Roca berkata kelmarin, bahawa ada peminat, malah ‘menghembuskan nafas terakhir dalam pelukan pemain’, selepas beberapa pemain kekal di atas padang apabila perlawanan berakhir.

“Sekembalinya saya dari sidang akhbar, saya melihat tragedi itu.

“Saya fikir polis bertindak melampaui batas, walaupun saya tidak berada di luar sana,” kata Roca kepada stesen penyiaran Sepanyol, Cadena Ser.

Mangsa yang terselamat memberitahu, penonton panik ketika gas pemedih mata menghujani mereka.

“Anggota-anggota polis melepaskan gas pemedih mata dan secara automatik, orang ramai cuba melarikan diri. Maka, berlaku tolak-menolak antara mereka yang menyebabkan ramai menjadi mangsa,” kata seorang penonton berusia 43 tahun dikenali sebagai Doni.

“Tiada apa-apa yang berlaku, tiada rusuhan. Saya tidak tahu apakah isunya tetapi polis tiba-tiba menembak gas pemedih mata. Ini mengejutkan saya. Tidakkah mereka fikir tentang kanak-kanak dan wanita?” tambahnya.

Orang ramai membawa penonton yang cedera keluar stadium, manakala mangsa-mangsa terselamat pula membawa mayat rakan-rakan mereka.

“Insiden ini sangat menakutkan, sangat mengejutkan,” kata mangsa yang terselamat berusia 22 tahun, Sam Gilang. Dia kehilangan tiga rakannya dalam rusuhan tersebut.

“Sekurang-kurangnya 125 orang terbunuh,” kata Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Dardak kepada stesen penyiar Metro TV petang semalam. Angka kematian rasmi itu menurun berbanding 174 mangsa sebelum ini kerana berlaku kesilapan dalam pengiraan.

“Sesetengah nama direkodkan dua kali kerana telah dirujuk ke hospital lain dan nama mereka ditulis semula,” katanya yang memetik data polis tempatan daripada 10 buah hospital.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here