Jaga nilai murni, adab ketika berkempen – Agong

0
13
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya calon-calon dan penyokong parti politik yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen.

Seri Paduka turut menasihatkan semua calon supaya bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan, undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, baginda mengingatkan para calon dan penyokong supaya menjaga nilai-nilai murni dan adab dalam kehangatan berkempen.

“Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni.

“Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” kata kenyataan itu.

Ahmad Fadil menjelaskan, pada hemat baginda, kerjasama dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

Ahmad Fadil turut memaklumkan, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara, semalam.

“Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak PDRM dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan PRU15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota,” katanya lagi.

PRU15 akan diadakan pada 19 November nanti selepas 14 hari berkempen bermula selepas penamaan calon pada 5 November.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here