Kadar baharu RMT tidak terjejas walaupun belum diluluskan Dewan Rakyat – Radzi

0
17
Gambar Fail Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin membuat lawatan mengejut di sebuah kantin sekolah bagi meninjau kualiti makanan disediakan.

PUTRAJAYA – Pemberian bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang telah dinaikkan kepada RM3.50 dan RM4 mulai bulan ini dalam Bajet 2023 tidak akan terjejas walaupun ia belum diluluskan di Dewan Rakyat susulan pembubaran Parlimen, Isnin lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kenaikan kadar itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun hadapan.

Sebaliknya, Radzi berkata, ia menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti kaedah pelaksanaan terbaik untuk tahun ini.

“Kita sedang kaji dan melihat di peringkat kementerian tentang apakah pendekatan yang kita akan gunakan.

“Apabila kita akan laksanakan untuk tahun ini, ada peruntukan telah disediakan.

“Secara umumnya, kita sedang berbincang (jumlah) peruntukan tersebut. Biasanya bila diumumkan itu telah ada peruntukan untuk perkara tersebut dan akan duduk bincang semula dengan Kementerian Kewangan apakah kaedah pelaksanaan untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga Putrajaya – Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar bantuan RMT buat semua penerima berkuat kuasa bulan ini.

Menurutnya, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.

Kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.

Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020.

Lebih 800,000 murid dan 7,300 pengusaha makanan serta pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan bantuan RMT itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here