Kadar tol di 6 lebuh raya di Lembah Klang dikurangkan bermula 20 Oktober ini

0
110
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ditemuramah pemberita selepas merasmikan Pembukaan Rasmi Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) di sini hari ini.

SHAH ALAM – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah bersetuju dengan cadangan untuk penstrukturan semula empat buah syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian PROLINTAS dan mengurangkan kadar tol bagi enam lebuh raya di Lembah Klang.

Perdana Menteri berkata, lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) yang mana akan berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam 20 Oktober ini.

“Manakala, pengurangan kadar tol bagi Lebuh Raya LEKAS dan BESRAYA di bawah Kumpulan IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pembukaan Rasmi Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) di sini hari ini.

Beliau berkata, penstrukturan itu adalah sebagai menandakan keprihatinan terhadap masalah rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, katanya, dalam usaha menampung trafik yang tinggi serta menangani masalah kesesakan lalulintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, kerajaan akan membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah.

Pada masa yang sama, kerja-kerja tebatan banjir di lebuh raya LPT1 juga akan dilaksanakan susulan daripada kejadian banjir yang seringkali berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

“Kesemua kerja-kerja penambahbaikan yang telah saya maklumkan sebentar tadi, mengambilkira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi tambahan sedang dimuktamadkan.

“Melalui penstrukturan terbaharu ini, kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM8.8 bilion anggaran dalam bentuk pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi yang terlibat.

“Pengguna lebuh raya bakal pula dapat menikmati kadar tol yang lebih rendah sekali gus dapat meringankan beban kos sara hidup,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here