Kaedah baharu bagi pengambilan guru lebih fleksible, bantu lebih banyak graduan pendidikan – Radzi Jidin 

0
30
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berusaha meningkatkan pengambilan guru baharu pada tahun ini selepas berjaya mencatatkan pengambilan tertinggi pada tahun lepas.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, proses pengambilan guru pada tahun ini sudah diperingkat perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.

“Bagi pengambilan guru tahun pada tahun 2022 kita dalam perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dan Insya-Allah dengan jumlah yang ramai juga.

Katanya, usaha tersebut diambil selepas beliau melihat terdapat kelemahan dalam sistem yang digunakan sebelum ini bagi pengambilan dan penempatan guru.

“Sewaktu saya mula berkhidmat di KPM saya telah dimaklumkan guru kita tidak cukup 18,702 orang dan bila saya tanya kenapa, jawapan yang diberikan adalah tiada bekalan di pasaran.

“Saya melihat bekalan ini banyak tetapi berlaku ketidakpadanan kerana dia belajar di universiti subjek lain dan apa yang diperlukan adalah subjek lain.

“Contoh lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Fizik mesti tunggu kekosongan untuk subjek fizik. Persoalannya adakah lepasan jurusan fizik ini tidak boleh mengajar matematik? Dia boleh.

“Jadi kita tukar sistem sedia ada dan sekarang kita menggunakan cara kluster, graduan fizik atau mana-mana graduan lain yang boleh mengajar lebih daripada satu mata pelajaran mereka boleh dapatkan pilihan yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bertajuk ‘Pendidikan Membina Generasi Gemilang’ yang disiarkan secara langsung di sini, petang tadi.

Mengulas lanjut, Dr. Radzi berkata, kejayaan KPM dalam pengambilan guru secara ‘one-off’ pada tahun lepas juga telah banyak membantu graduan yang sudah lama menunggu untuk berkhidmat sebagai guru.

“Bila saya umum nak ambil 18,000 guru ramai yang tidak percaya. Sebab paling ramai kita pernah ambil adalah sebanyak 5,000 setahun.

“Namun dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan kita berjaya ambil sebanyak 88 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan dan buat pertama kali dalam sejarah Malaysia pengambilan guru one off paling ramai kita buat lebih 16,000 orang.

“Jadi graduan yang sudah lama menunggu boleh ambil peluang ini. Dulu sistem yang ada terlalu ketat dan tidak fleksibel namun dengan adanya pendekatan kluster ini kita masalah ini akan dapat diselesaikan lebih menyeluruh,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here