Kakak tikam adik dibebaskan selepas bapa bayar wang jaminan RM10,000

0
174
Suspek yang menikam tanpa sengaja adiknya dibawa ke mahkamah. Gambar Kredit Bernama

JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan mengaku tidak bersalah atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 17 tahun 11 bulan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli di Mahkamah Majistret Kanak-kanak, di sini, hari ini, lapor Berita Harian Online.

Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya, yang berusia 16 tahun, yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai di sini, jam 1.50 tengah hari, 19 Oktober lalu.

Anak sulung daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, barisan pembelaan yang mewakili tertuduh, iaitu peguam, Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.

“Tertuduh adalah seorang kanak-kanak dan tiada sebab dia melarikan diri. Selain itu, kita mengambil kira juga pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan, yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000, dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali.

Difahamkan, bapa tertuduh membayar ikat jamin berkenaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.

Pada 19 Oktober lalu, media melaporkan, seorang kakak membaling pisau ke arah adiknya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Dua beradik itu terlebih dahulu dilaporkan bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum si kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur, yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya, sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here