‘Kami tidak bersekongkol dengan mana-mana kumpulan gangster – KPD Sentul

0
24

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Sentul menegaskan pihaknya tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang melakukan perbuatan jenayah seperti yang ditular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dakwaan mengatakan pihak berkuasa itu cuba melindungi individu tertentu adalah tidak benar dan tidak berasas.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang tular di Facebook mengenai seorang lelaki tempatan yang diugut kumpulan gangster.

“Kita menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang mendakwa diugut seorang lelaki dikenali ketika berada di Pejabat D7 (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 11.12 malam pada 4 September lalu.

“Siasatan dilakukan mendapati berlaku pergaduhan membabitkan dua kumpulan terdiri warga tempatan di kawasan parkir luar Jalan Vista Mutiara 1 kira-kira jam 2 pagi pada 29 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Seorang saksi kejadian dipanggil ke Pejabat D7 IPD Sentul bagi membantu siasatan yang mana dua saudaranya ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan itu kira-kira jam 2 petang pada 3 September lalu.

“Ketika berada di pejabat D7, saksi ada berinteraksi dengan tangkapan itu dalam bahasa Cina. Polis yang sedang bertugas ketika itu tidak menampakkan sebarang perlakuan jenayah dalam interaksi terbabit walaupun tidak memahami bahasa Cina yang dipertuturkan,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada 4 September lalu.

“Dua daripada mereka dituduh pada 9 September lalu mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan selepas menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya.

“Bertindak atas laporan dibuat pengadu bersabit insiden yang tular di Facebook itu, pihak polis sudah menahan suspek berkenaan pada 8 September lalu dan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 9 September lalu atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya.

“Mereka yang bersalah akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Justeru beliau menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang insiden yang boleh mencemarkan reputasi PDRM dan mendatangkan kegusaran umum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here